Showing posts with label Fiction. Show all posts
Showing posts with label Fiction. Show all posts

Saturday, 31 October 2020

Hikayat Moden: Bahagian X (Antara dua kemungkinan...)

Baca Bahagian I, Bahagian II, Bahagian III, Bahagian IV, Bahagian V, Bahagian VI, Bahagian VII, Bahagian VIII & Bahagian IX di sini.

.
.
.

Begitulah cara Lebai Pak Belalang mengalihkan perhatian rakyat dari hal-hal pentadbiran negeri yang penuh korupsi, tidak efisien and polisi-polisi dangkal yang lebih menjurus kepada menguntungkan kroni-kroni dan agamawan hipokrit; dengan mencari gaduh dengan kerajaan negeri lain dan menakutkan majoriti rakyat jelata dengan rakyat jelata minoriti yang lain.

Taktik ini telah berjaya mengekalkan kuasa Lebai Pak Belalang dengan begitu lama. Rakyat termakan dengan ketakutan dijajah sekali lagi oleh negeri dari arah matahari terbenam. Rakyat yang pelbagai rumpun dan bahasa juga ditakutkan sesama sendiri.

Agama dan adat dicanangkan berada dalam keadaan cemas dan tergugat dan hanya seorang yang bergelar "Lebai" sepertinya sahaja yang boleh membela agama dan adat.

Tetapi arus masa membawa angin perubahan dan rakyat negeri kini berada di satu ambang yang membawa kepada dua kemungkinan.

Samada terus terlena dengan candu kelebaian atau menongkah arus dan memotong lalang supaya "belalang" tidak boleh lagi hidup dan negeri subur dengan pokok-pokok yang membuahkan hasil.

Rakyat seperti Mat Jenin perlu berhenti berangan sahaja dan turun dari pokok kelapa. Ladang kelapa adalah tempat untuk berladang dan menuai hasil dengan kerja keras bukan tempat berangan.

Rakyat seperti Si Luncai perlu dididik dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat supaya dia dapat mengunakan kecerdikan akalnya ke arah yang lurus dan lebih produktif.

Rakyat seperti Mak Andeh yang berakal panjang tetapi ditotok oleh orang agama bahawa dia berakal pendek hanya kerana jantinanya, perlu memecah tradisi dan mencari haluan yang lebih bermakna dan produktif dan perlu enggan dikawal lagi oleh ajaran agama yang membazir potensi mereka.

Katak-katak perlu keluar dari bawah tempurung dan gunakan keupayaan mereka dengan melompat tinggi untuk mencari air, bukan hanya menunggu hujan dan membuat bising bila hujan turun.

Kebebasan bersuara perlu dijaga supaya rakyat seperti Hang Nadim tidak dibunuh hanya kerana menyuarakan pendapat bernas mereka.

Adakah ini semua mungkin? 


Bersambung di Hikayat Moden: Bahagian XI bulan hadapan…


Wednesday, 30 September 2020

Hikayat Moden: Bahagian IX (Tragedi September)

Baca Bahagian I, Bahagian II, Bahagian III, Bahagian IV, Bahagian V, Bahagian VI, Bahagian VII & Bahagian VIII di sini.
.
.
.
Pesta Monsoon yang dianjurkan di seluruh negeri telah menyebabkan ramai kanak-kanak mati lemas.

Pada mulanya, ibubapa kanak-kanak tersebut dipersalahkan kerana tidak menjaga anak-anak mereka semasa bermain air. Kanak-kanak tersebut disangka mati sesak nafas kerana terlalu ramai orang. Tidak mungkin mereka mati lemas dalam air sedalam dada itik sahaja.

Tetapi semakin hari semakin ramai kanak-kanak mati lemas dan rakyat mula mempersoal akan maklumat paras air banjir.

Ada rakyat mula menyalahkan Lebai Pak Belalang dan Pak Pandir kerana memberi maklumat yang salah.

Penyokong Lebai Pak Belalang mempertahankan Lebai Pak Belalang dengan alasan-alasan lain.

Mereka menyalahkan rakyat jelata yang terlalu seronok riang ria bermain air sehingga lupa kewajipan agama yang dituntut lima kali sehari. Mereka mengandaikan ini adalah hukuman Tuhan kerana alpa tuntutan agama. Ada juga yang mengandaikan tragedi yang berlaku adalah hukuman Tuhan kerana ada rakyat jelata perempuan yang bermain air dengan pakaian bikini yang seksi.

Ada yang membuat pengaduan di badan siasatan rasuah untuk menyiasat itik-itik yang dikatakan telah memberi info dan maklumat yang salah pada Lebai Pak Belalang. Mereka cuba menyalahkan itik-itik yang hanya berenang di air tanpa menyedari gambar mereka diambil oleh Lebai Pak Belalang sebagai bukti saintifik paras air banjir.

Majoriti rakyat berpegang pada sebab-sebab tersebut di atas tragedi yang berlaku. Mereka tidak terfikir sedikit pun untuk menganalisa dan mencabar data dan maklumat yang diberi Lebai Pak Belalang sebelum ini. Maklumlah, bagi mereka golongan lebai dan ulama tidak mungkin berbuat salah.

Ada segelintir (termasuk Si Luncai) yang cuba mengkritik Lebai Pak Belalang & Pak Pandir. Mereka cuba mempersoalkan kebijaksanaan kepemimpinan Lebai Pak Belalang & Pak Pandir. Tetapi mereka dituduh menghina ulama dan dikecam hebat.

Pada rakyat jelata, mengkritik ulama adalah sama seperti menghina ulama. 
Menghina ulama adalah seperti menghina agama.
Menghina agama adalah menghina Tuhan.

Begitulah panaakulan mantik yang dipegang oleh sebahagian besar rakyat jelata.

Dengan ini, suara-suara yang cuba mengkritik Lebai Pak Belalang & Pak Pandir ditenggelamkan.

Dengan itu, kanak-kanak yang mati lemas dalam air banjir menjadi seumpama mati katak sahaja. Menjadi bahan politik untuk Lebai Pak Belalang dan golongan lebai lain untuk memperkuatkan kuasa politik mereka.



Sementara itu, itik-itik yang cuba disalahkan, telah terbang ke benua selatan untuk lari dari cuaca sejuk yang bakal datang, seperti yang dilakukan mereka setiap tahun. Apabila kerajaan benua selatan mendapat tahu yang itik-itik tersebut menjadi buruan kerajaan Lebai Pak Belalang, dan bakal dijadikan itik salai masak lemak; jika ditangkap; mereka telah melarang itik-itik dari terbang balik apabila musim sejuk habis.

Maka terjadilah perang mulut antara kedua kerajaan tersebut. Lebai Pak Belalang menuduh kerajaan benua selatan rasis. Mereka  dituduh anti masakan tradisional seperti itik salai masak lemas. Dengan menahan itik-itik tersebut dari terbang kembali, rakyat jelata tidak dapat makan itik salai masak lemas. Kerajaan selatan dituduh anti masakan tradisi dan anti budaya negeri ini. Kerajaan selatan dituduh rasis.

Perang mulut ini lagi menenggelamkan isu kematian kanak-kanak tersebut dan lama-kelamaan kematian mereka dilupakan.





Bersambung di Hikayat Moden: Bahagian X bulan hadapan…


Monday, 31 August 2020

Hikayat Moden: Bahagian VIII (Pak Pandir, Pak Belalang & Pesta Monsoon)

Baca Bahagian IBahagian IIBahagian IIIBahagian IVBahagian V, Bahagian VI & Bahagian VII di sini.
.
.
.
Sebagai menteri, Pak Pandir berfikir bagaimana untuk menjana ekonomi negeri. Dia teringat akan penerangan Lebai Pak Belalang kepada rakyat yang negeri mereka dikurniakan Tuhan banjir setakat paras dada itik sahaja pada setiap tahun.

Bagi Pak Pandir ini adalah satu peluang besar untuk meraih untung. Dia mencadangkan acara Pesta Monsoon diadakan setiap tahun. Paras banjir yang setakat dada itik sahaja setiap tahun adalah satu rezeki dari Tuhan. 

Maka, pada bulan monsoon tahun itu, Pak Pandir merancang satu pesta besar-besaran di setiap pelusuk negeri. Ini termasuklah acara permainan air kanak-kanak dalam air banjir dengan hadiah yang besar dan mahal. Paras air banjir setakat dada itik tidak akan membahayakan nyawa kanak-kanak kecil dalam negeri.

Pesta Monsoon seperti yang dirancang Pak Pandir telah bermula dengan meriah. Acara dirasmikan oleh Lebai Pak Belalang dengan gilang-gemilang. Acara pesta tahunan ini diharapkan boleh menjadikan negeri lebih cemerlang gemilang dan terbilang di seantero dunia. 

Setiap hari hujan turun dengan lebat tetapi paras air banjir tetap sama...setakat dada itik sahaja.

Rakyat bersyukur pada Tuhan dengan anugerah ajaib ini. Mereka berpendapat ini adalah berkat kealiman kepimpinan negeri yang dipimpin oleh Lebai Pak Belalang.

Acara Pesta terus berjalan dengan rancak, kanak-kanak di seluruh negeri amat riang-ria bermain air banjir dan hujan semakin turun dengan lebat seakan-akan merestui negeri mereka........




Bersambung di Hikayat Moden: Bahagian IX bulan hadapan…


Friday, 31 July 2020

Hikayat Moden: Bahagian VII (Si Luncai dan Pak Pandir)


Baca Bahagian I, Bahagian II, Bahagian III, Bahagian IVBahagian V & Bahagian VI di sini.
.
.
.

Pak Pandir sedang berehat di rumah akibat dipukul oleh tuan kedai kerana meruntuhkan tandas kedainya. Sambil makan ubat, telinganya hanya mendengar sahaja leteran Mak Andeh yang membebel kerana merosakkan harta benda orang lain. Pak Pandir masih berasa malu kerana ditertawakan oleh semua orang atas kejadian tandas itu.


Dalam perjalanan ke rumah Pak Pandir, Si Luncai berfikir bagaimana hendak mendesak atau memujuk Pak Pandir dalam misi untuk menjatuhkan Lebai Pak Belalang.


Di rumah Pak Pandir, Si Luncai mendesak supaya Pak Pandir bertanding di pilihanraya yang akan datang sebagai orang kanan Lebai Pak Belalang. Si Luncai meyakinkan Pak Pandir yang dia boleh menebus malu dengan semua orang. Jika dia berjaya mentadbir dan membangunkan negeri, semua orang akan mengiktiraf Pak Pandir sebagai cerdik pandai dan akan melupakan tragedi tandas sebelum ini. Pak Pandir bersetuju dengan cadangan tersebut.


Si Luncai berjumpa dengan Lebai Pak Belalang dan berjaya meyakinkan Lebai Pak Belalang supaya mengambil Pak Pandir sebagai orang kanannya. Si Luncai memberi tanggapan kepada Lebai Pak Belalang bahawa Pak Pandir adalah seorang yang mudah dimanipulasi kerana akalnya yang pendek.


Lebai Pak Belalang memang berkehendak orang yang bodoh dan berakal pendek di sekelilingnya. Oleh itu, dia dengan cepat bersetuju dengan cadangan Si Luncai. Baginya ini akan memudahkan dia untuk "membasuh" duit negara di akaunnya sendiri.


Maka Pak Pandir bertanding sebagai orang kanan Lebai Pak Belalang dalam pilihanraya yang diadakan. Walaupun Pak Pandir berakal pendek; dan semua orang nampak dengan terang yang Pak Pandir berakal pendek; Pak Pandir telah menang pilihanraya itu atas karisma "agamawan" dan "ke-lebai-an" Lebai Pak Belalang.


Rakyat jelata berpendapat Lebai Pak Belalang yang alim warak itu boleh memimpin dan membimbing Pak Pandir ke arah jalan yang betul. Tidak perlu cerdik dalam hal-hal pentadbiran dan hal-hal dunia asalkan cukup dalam soal-soal melakukan rukun ibadat. Bagi mereka kalau pemimpin alim warak, semua masalah dunia akan selesai secara automatik atas rahmat Tuhan disebabkan kewarakan pemimpin.


Kealiman dan kewarakan Lebai Pak Belalang boleh menyelesaikan semua masalah walaupun orang-orang di sekelilingnya berakal pendek. Kalau masalah tidak berjaya diselesaikan, maka cukup dengan berbalik kepada ayat "sudah takdir". Ayat "sudah takdir" adalah amat "power" bila keluar dari mulut orang-orang yang ada gelaran "Lebai" seperti Lebai Pak Belalang. Tidak perlu kepada penyelesaian yang konkrit bila keluar ayat "power" ini.


Maka, Pak Pandir telah dilantik memegang jawatan yang penting dalam pentedbiran negeri.


Bersambung di Hikayat Moden: Bahagian VIII bulan hadapan…