Friday, 31 July 2020

Hikayat Moden: Bahagian VII (Si Luncai dan Pak Pandir)


Baca Bahagian I, Bahagian II, Bahagian III, Bahagian IVBahagian V & Bahagian VI di sini.
.
.
.

Pak Pandir sedang berehat di rumah akibat dipukul oleh tuan kedai kerana meruntuhkan tandas kedainya. Sambil makan ubat, telinganya hanya mendengar sahaja leteran Mak Andeh yang membebel kerana merosakkan harta benda orang lain. Pak Pandir masih berasa malu kerana ditertawakan oleh semua orang atas kejadian tandas itu.


Dalam perjalanan ke rumah Pak Pandir, Si Luncai berfikir bagaimana hendak mendesak atau memujuk Pak Pandir dalam misi untuk menjatuhkan Lebai Pak Belalang.


Di rumah Pak Pandir, Si Luncai mendesak supaya Pak Pandir bertanding di pilihanraya yang akan datang sebagai orang kanan Lebai Pak Belalang. Si Luncai meyakinkan Pak Pandir yang dia boleh menebus malu dengan semua orang. Jika dia berjaya mentadbir dan membangunkan negeri, semua orang akan mengiktiraf Pak Pandir sebagai cerdik pandai dan akan melupakan tragedi tandas sebelum ini. Pak Pandir bersetuju dengan cadangan tersebut.


Si Luncai berjumpa dengan Lebai Pak Belalang dan berjaya meyakinkan Lebai Pak Belalang supaya mengambil Pak Pandir sebagai orang kanannya. Si Luncai memberi tanggapan kepada Lebai Pak Belalang bahawa Pak Pandir adalah seorang yang mudah dimanipulasi kerana akalnya yang pendek.


Lebai Pak Belalang memang berkehendak orang yang bodoh dan berakal pendek di sekelilingnya. Oleh itu, dia dengan cepat bersetuju dengan cadangan Si Luncai. Baginya ini akan memudahkan dia untuk "membasuh" duit negara di akaunnya sendiri.


Maka Pak Pandir bertanding sebagai orang kanan Lebai Pak Belalang dalam pilihanraya yang diadakan. Walaupun Pak Pandir berakal pendek; dan semua orang nampak dengan terang yang Pak Pandir berakal pendek; Pak Pandir telah menang pilihanraya itu atas karisma "agamawan" dan "ke-lebai-an" Lebai Pak Belalang.


Rakyat jelata berpendapat Lebai Pak Belalang yang alim warak itu boleh memimpin dan membimbing Pak Pandir ke arah jalan yang betul. Tidak perlu cerdik dalam hal-hal pentadbiran dan hal-hal dunia asalkan cukup dalam soal-soal melakukan rukun ibadat. Bagi mereka kalau pemimpin alim warak, semua masalah dunia akan selesai secara automatik atas rahmat Tuhan disebabkan kewarakan pemimpin.


Kealiman dan kewarakan Lebai Pak Belalang boleh menyelesaikan semua masalah walaupun orang-orang di sekelilingnya berakal pendek. Kalau masalah tidak berjaya diselesaikan, maka cukup dengan berbalik kepada ayat "sudah takdir". Ayat "sudah takdir" adalah amat "power" bila keluar dari mulut orang-orang yang ada gelaran "Lebai" seperti Lebai Pak Belalang. Tidak perlu kepada penyelesaian yang konkrit bila keluar ayat "power" ini.


Maka, Pak Pandir telah dilantik memegang jawatan yang penting dalam pentedbiran negeri.


Bersambung di Hikayat Moden: Bahagian VIII bulan hadapan…





No comments:

Post a Comment