Saturday, 29 February 2020

Hikayat Moden: Bahagian II (Si Luncai & Pak Belalang)

Baca Bahagian I di sini.
.
.
.
Setelah beberapa lama Si Luncai beredar dari kedai makan tadi, Si Luncai bertembung dengan Pak Belalang dan anaknya Belalang.

Si Luncai terfikir dalam hati kenapakah dua beranak ini dikenali dengan nama si anak. Ini adalah terbalik dengan kebiasaan masyarakat Melayu. Biasanya, nama bapa lebih dikenali dan si anak akan dibinkan dengan si bapa. Tapi bagi Si Luncai ini hanya satu dari beberapa "keterbalikan" yang ada pada dua beranak ini. Si Luncai tahu rahsia-rahsia lain dua beranak ini yang dia hanya simpan.

Belalang mencari rezeki dengan mencuri kereta masyarakat sekeliling dan menyembunyikan kereta tersebut untuk seketika waktu. Dalam waktu tersebut, bahagian-bahagian elok kereta-kereta berkenaan dicabut dan diganti dengan bahagian-bahagian yang kurang elok dan hampir rosak.

(Hanya dua jenama kereta sahaja yang mereka tidak akan curi, iaitu BMW dan Alfa Romeo. Logo dua jenama kereta ini ada tanda silang dan mereka takut iman mereka akan tergugat jika mereka sentuh benda-benda yang ada tanda silang.)






Apabila kerja-kerja pencurian tersebut selesai, dia akan beritahu kepada Pak Belalang di mana kereta-kereta tersebut boleh dijumpai.

Pak Belalang akan memberi khidmat siasatan & penujuman kepada mereka yang kehilangan kereta tersebut. Dia meyakinkan semua orang yang dia boleh selesaikan masalah kehilangan mereka. Apatah lagi apabila dia mewar-warkan yang dia menggunakan khidmat jin baik untuk menolong dalam hal ini.

Masyarakat sekeliling yang percaya akan perkara ini mengupah Pak Belalang dengan harga yang tinggi. Kadar kejayaan Pak Belalang dalam menyelesaikan masalah ini adalah 100%. Masyarakat sekeliling tidak sedikit pun mempersoalkan akan kadar kejayaan yang sempurna ini. Mereka percaya ini adalah kerana jin baik yang Pak Belalang guna.    

Kerana kejayaan menolong masyarakat sekeliling ini, Pak Belalang menjadi sangat terkenal. Masyarakat mengangkat Pak Belalang menjadi pemimpin masyarakat dan Pak Belalang telah menjadi ahli politikus dan bertanding dalam pilihanraya untuk menjadi pemimpin negeri tersebut.

Untuk meraikan kejayaannya dalam pilihanraya, Pak Belalang telah belanja minum semua orang kopi buntut kuali Belalang yang sangat kaw kaw dan terlajak laris.


Bersambung di Hikayat Moden: Bahagian III bulan hadapan...





No comments:

Post a Comment