.
.
.
Salah satu masalah besar dalam negeri adalah masalah banjir yang terjadi setiap tahun pada musim tengkujuh. Setiap tahun, banjir mengorbankan harta dan jiwa rakyat jelata. Mereka berharap pemimpin baru mereka Pak Belalang boleh menyelesaikan masalah ini seperti Pak Belalang biasa buat dengan masalah kehilangan kereta mereka.
Pak Belalang mengumpulkan semua rakyat jelata di dewan perhimpunan negeri. Dia belanja mereka semua minum kopi buntut kuali Belalang yang sangat kaw kaw dan terlajak laris itu.
Tanpa pengetahuan rakyat jelata, Belalang telah mencampurkan dalam kopi tersebut sejenis candu berjenama "Karl Marx" buatan dari Jerman. Ini untuk menyenangkan lagi Pak Belalang memberi keyakinan kepada rakyat.
Pak Belalang mengajak semua rakyat jelata mengubah paradigma pemikiran mereka dan jangan terlalu manja dengan sedikit hujan yang turun setiap tahun. Sebenarnya negeri mereka tiada masalah banjir yang besar. Air yang naik setiap tahun pada musim tengkujuh sebenarnya sedikit sahaja dan tidaklah sebegitu teruk. Tidak perlu untuk membelanjakan berjuta ringgit untuk membina sistem penebatan banjir.
Untuk membuktikan perkara ini secara saintifik, dia menunjukkan gambar-gambar yang diambil semasa banjir untuk beberapa tahun yang lepas. Semua gambar-gambar tersebut menunjukkan banjir yang berlaku di negeri mereka hanyalah setakat paras dada itik sahaja. Dia juga membawa masuk beberapa ekor itik ke dalam dewan dan menunjukkan bahawa paras dada itik adalah sangat rendah.
![]() |
Itik yang diimport dari Tasik Iseo, Italy. |
Pak Belalang memberi tazkirah bahawa negeri mereka sangat diberkati Tuhan. Negeri lain banjir teruk setiap tahun pada musim tengkujuh, tetapi negeri mereka hanya banjir setakat paras dada itik sahaja. Keberkatan ini adalah kerana rakyat jelata negeri ini telah memilih pemimpin yang alim lagi warak setiap tahun untuk memimpin negeri. Mereka perlu mendengar nasihat pemimpin pilihan Tuhan ini jika ingin negeri mereka terus diberkati.
Maka semua rakyat jelata berasa malu kerana merasakan mereka telah membesarkan masalah yang sebenarnya bukan masalah pun. Mereka bersyukur kepada Tuhan kerana telah dikurniakan dengan seorang pemimpin yang bijaksana dan alim lagi warak. Sifat alim dan warak Pak Belalang yang teramat menjaga amanah duit rakyat agar tidak dibelanjakan pada perkara-perkara yang tidak perlu, mengagumkan semua orang.
Dia telah menggunakan kebijaksanaannya untuk memastikan amanah ini dijaga. Sebaliknya dia hanya menggunakan RM26 juta ringgit sahaja untuk membela itik-itik yang digunakan sebagai bukti yang negeri mereka tidak ada masalah banjir. Mereka percaya akan sifat amanah Pak Belalang sehingga tiada seorang pun merasa perlu bertanya apa yang Pak Belalang akan buat dengan semua itik-itik yang dibela itu. Mereka juga tidak bertanya kenapa itik-itik tersebut dibela di kandang yang dibina seperti kondo, siap dengan "air-cond" lagi.
Sifat bijaksana, alim, warak dan beramanah ini beserta dengan kebolehan Pak Belalang untuk berkomunikasi dengan jin baik telah mengangkat nama Pak Belalang ke tahap yang lebih disanjungi.
Sejak dari itu Pak Belalang telah dikenali dengan gelaran Lebai Pak Belalang.
Bersambung di Hikayat Moden: Bahagian IV bulan hadapan...
No comments:
Post a Comment