Sunday, 31 May 2020

Hikayat Moden: Bahagian V (...melebarkan sayapnya...)

Baca Bahagian I, Bahagian II, Bahagian III & Bahagian IV di sini.
.
.
.
Lebai Pak Belalang membelanjakan duit negeri untuk membuka kawasan pembalakan di kawasan perbukitan dan pergunungan negeri. Kawasan ini adalah kawasan tadahan air yang sangat penting untuk mengelakkan banjir
dari menjadi lebih teruk.

Rakyat jelata yang bimbang akan hal ini mengadu kepada Lebai Pak Belalang. Apabila aduan ini sampai kepada Lebai Pak Belalang, dia menjadi marah atas kebodohan rakyat jelata.

Lebai Pak Belalang memanggil rakyat jelata ke perhimpunan di dewan negeri. Dia menayangkan statistik saintifik kadar pertumbuhan tumbuhan dan pokok-pokok di kawasan pembalakan tersebut.

Katanya, tiap-tiap tahun pokok semakin membesar dan menjadi semakin berat. Berat yang bertambah atas bukit-bukit dan pergunungan ini akan menjadi beban kepada bukit dan gunung tersebut. Lama kelamaan jika tidak ditebang,
bukit dan gunung akan runtuh akibat dari berat yang semakin bertambah dan menyebabkan bencana tanah runtuh yang boleh menjahanamkan sungai dan kawasan-kawasan rendah di seluruh negeri.

Tambah Lebai Pak Belalang lagi, pokok-pokok dan daun-daun yang mati boleh menyebabkan kebakaran hutan yang akan mendatangkan bencana yang lagi besar. Lebih baik kawasan tersebut ditebang dan dimajukan bagi mengelakkan risiko kebakaran hutan.

Lebai Pak Belalang menegur rakyat jelata yang tidak percaya akan kepimpinan lebai dan ulamak yang bijaksana. Mereka lebih tahu apa yang bagus untuk kesejahteraan dan keberkatan negeri.

Rakyat jelata yang mendengar ucapan Lebai Pak Belalang berasa malu kerana meragui kebijaksanaan Lebai Pak Belalang. Mereka lupa yang mereka memberi gelaran Lebai kepada Lebai Pak belalang kerana kebijaksanaan dan sifatnya yang alim lagi warak dan yang lebih tahu akan apa yang Tuhan mahukan untuk negeri.

Mereka pun balik dan memberi sepenuh kepercayaan kepada Lebai Pak Belalang untuk membelanja khazanah negeri ikut suka hatinya tanpa kritikan lanjut.

Bersambung di Hikayat Moden: Bahagian VI bulan hadapan...



No comments:

Post a Comment