.
.
.
Pesta Monsoon yang dianjurkan di seluruh negeri telah menyebabkan ramai kanak-kanak mati lemas.
Pada mulanya, ibubapa kanak-kanak tersebut dipersalahkan kerana tidak menjaga anak-anak mereka semasa bermain air. Kanak-kanak tersebut disangka mati sesak nafas kerana terlalu ramai orang. Tidak mungkin mereka mati lemas dalam air sedalam dada itik sahaja.
Tetapi semakin hari semakin ramai kanak-kanak mati lemas dan rakyat mula mempersoal akan maklumat paras air banjir.
Ada rakyat mula menyalahkan Lebai Pak Belalang dan Pak Pandir kerana memberi maklumat yang salah.
Penyokong Lebai Pak Belalang mempertahankan Lebai Pak Belalang dengan alasan-alasan lain.
Mereka menyalahkan rakyat jelata yang terlalu seronok riang ria bermain air sehingga lupa kewajipan agama yang dituntut lima kali sehari. Mereka mengandaikan ini adalah hukuman Tuhan kerana alpa tuntutan agama. Ada juga yang mengandaikan tragedi yang berlaku adalah hukuman Tuhan kerana ada rakyat jelata perempuan yang bermain air dengan pakaian bikini yang seksi.
Ada yang membuat pengaduan di badan siasatan rasuah untuk menyiasat itik-itik yang dikatakan telah memberi info dan maklumat yang salah pada Lebai Pak Belalang. Mereka cuba menyalahkan itik-itik yang hanya berenang di air tanpa menyedari gambar mereka diambil oleh Lebai Pak Belalang sebagai bukti saintifik paras air banjir.
Majoriti rakyat berpegang pada sebab-sebab tersebut di atas tragedi yang berlaku. Mereka tidak terfikir sedikit pun untuk menganalisa dan mencabar data dan maklumat yang diberi Lebai Pak Belalang sebelum ini. Maklumlah, bagi mereka golongan lebai dan ulama tidak mungkin berbuat salah.
Ada segelintir (termasuk Si Luncai) yang cuba mengkritik Lebai Pak Belalang & Pak Pandir. Mereka cuba mempersoalkan kebijaksanaan kepemimpinan Lebai Pak Belalang & Pak Pandir. Tetapi mereka dituduh menghina ulama dan dikecam hebat.
Menghina ulama adalah seperti menghina agama.
Menghina agama adalah menghina Tuhan.
Begitulah panaakulan mantik yang dipegang oleh sebahagian besar rakyat jelata.
Dengan ini, suara-suara yang cuba mengkritik Lebai Pak Belalang & Pak Pandir ditenggelamkan.
Dengan itu, kanak-kanak yang mati lemas dalam air banjir menjadi seumpama mati katak sahaja. Menjadi bahan politik untuk Lebai Pak Belalang dan golongan lebai lain untuk memperkuatkan kuasa politik mereka.
Sementara itu, itik-itik yang cuba disalahkan, telah terbang ke benua selatan untuk lari dari cuaca sejuk yang bakal datang, seperti yang dilakukan mereka setiap tahun. Apabila kerajaan benua selatan mendapat tahu yang itik-itik tersebut menjadi buruan kerajaan Lebai Pak Belalang, dan bakal dijadikan itik salai masak lemak; jika ditangkap; mereka telah melarang itik-itik dari terbang balik apabila musim sejuk habis.
Maka terjadilah perang mulut antara kedua kerajaan tersebut. Lebai Pak Belalang menuduh kerajaan benua selatan rasis. Mereka dituduh anti masakan tradisional seperti itik salai masak lemas. Dengan menahan itik-itik tersebut dari terbang kembali, rakyat jelata tidak dapat makan itik salai masak lemas. Kerajaan selatan dituduh anti masakan tradisi dan anti budaya negeri ini. Kerajaan selatan dituduh rasis.
Perang mulut ini lagi menenggelamkan isu kematian kanak-kanak tersebut dan lama-kelamaan kematian mereka dilupakan.
Bersambung di Hikayat Moden: Bahagian X bulan hadapan…
No comments:
Post a Comment